Saturday 13 November 2010

:: Ciri Sahabat Yang Baik ::


"Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan ALLAH, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati..."
' Sebaik-baik sahabat di sisi ALLAH ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik-baik jiran di sisi ALLAH ialah orang yang terbaik terhadap jirannya " (H.R al-Hakim)





ALLAH SWT mencipta makhluk di atas muka bumi ini berpasang-pasangan. Begitu juga manusia, tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh lari dari berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang. Jika ada manusia yang tidak suka berkawan atau melarang orang lain daripada berkawan, dia dianggap ganjil dan tidak memenuhi ciri-ciri sebagai seorang manusia normal.

Inilah antara hikmah kenapa ALLAH SWT mencipta manusia daripada berbagai bangsa, warna kulit dan bahasa. Firman ALLAH SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13, yang bermaksud :

" Wahai umat manusia! sesunguhnya Kami telah menciptaka kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi ALLAH ialah orang lebih bertakwa.
Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya."






Syariat Islam sangat menitikberatkan siapa kawan dan teman yang melingkungi kita. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personaliti individu. Tak kira teman seperjuangan, sekerja, sepejabat, sekelas, sebilik atau sekampung.


Demikian juga kawan dalam berpolitik, dalam berparti, dalam berpersatuan, dalam berjemaah, dalam berhibur dan sebagainya. Pengaruh kawan-kawan itu amat kuat sekali dalam pembentukan agama, akhlak dan syakhsiah seseorang. Benarlah sabda Nabi SAW:

"Seseorang itu adalah menurut agama temannya. 
Maka perhatikan siapakah teman kamu." (Riwayat at-Tirmizi)





Kawan-kawan yang baik dan soleh hendaklah dicari, manakala teman-teman yang jahat dan fasik hendaklah dijauhi. Kesilapan memilih kawan atau teman akan membenihkan kerosakan dan kepincangan hidup yang meleret ke usia senja. Firman ALLAH SWT dalam surah al-Furqan ayat 27 hingga 29 :

" Dan (ingatlah) hari (ketika) orang yang zalim menggigit kedua-dua belah tangannya seraya berkata, 'Aduhai kiranya (dulu) aku mengambil jalan bersama para Rasul. Kecelakaan besarlah bagiku, kiranya aku (dulu) tidak menjadikan si fulan itu (sebagai) teman akrab (ku). Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari al-Quran ketika al-Quran datang padaku. Dan adalah syaitan itu tidak mahu menolong manusia."