Tuesday 20 September 2011

:: ku Sedekahkan al-Fatihah dan bacaan al-Quran.. ::



Bismillah..


19 September 2011, jam 4.10 petang di bumi Mu'tah bersamaan jam 8.10 malam di Malaysia. Seakan mimpi ngeri. Baru beberapa minit lelapkan mata, tone belaian ibu berlagu di telefon, tertera perkataan "my mom" calling. Dalam keadaan mamai, kedengaran suara adik bergetar mengkhabarkan bahawa abah sudah pergi menyahut seruan Ilahi. Sesuatu yang tak pernah dijangka akan terjadi. Lama saya diam. Berharap mampu untuk bertahan. Apa yang terdaya hanya mampu berdoa dari sini. Hanya bacaan al-Quran yang mampu saya sedekahkan dari kejauhan.


Redha dengan ketentuan-Nya, kenangan bersama arwah abah dari kecik, masih segar diingatan. Tidak pernah menyangka bahawa pelukan abah sebelum bertolak ke Kuala Lumpur pada pagi ahad, 11 September 2011 adalah pelukan yang terakhir...


Semoga roh arwah abah tenang di sana dan ditempatkan dikalangan mereka yang beriman.. Kepada sahabat-sahabat yang terbaca entry ini, sama-samalah kita sedekahkan al-fatihah buat Allahyarham Nordin bin Chik dan saudara-mara kita yang telah lama meninggal dunia.. Semoga doa dari kita tidak akan terputus buat mereka yang telah kembali menemuiNya. Kiranya giliran kita tiba menyusul selepas ini, mudahan ada yang sudi mendoakan kesejahteraan kita.


W'salam.

Monday 19 September 2011

:: Ahlan wa Sahlan di bumi Urdun, Mu'tah.. ::



Bismillah....


Di bumi urdun... Selamat tiba di Airport Amman pada jam 5.30pagi. 13 September 2011 mencatat sejarah baru. Mudahan ini adalah pilihan yang terbaik, biarpun terlalu banyak halangan yang menghidang tatkala hati bertekad untuk meneruskan perjuangan menimba ilmuNya.


Alhamdulillah, pagi di perkarangan luar Airport Amman kami diberi seribu kekuatan. Tanpa rasa kesal kerana memilih Jordan sebagai medan pertempuran kami. Sinaran cahaya matahari terik tanpa ditapisi awan membahang di kulit muka. Subhanallah, cukup berbeza dgn Malaysia. Tiada pokok yang merimbun untuk kami berteduh. Yang ada cuma papan tanda yang lebar, cukup untuk dijadikan sebagai tempat berlindung di sebaliknya dari sinaran mentari pagi. Perjalanan dari Amman ke destinasi kami memakan masa selama 1jam 30 minit. Teruja dengan permandangan bukit bukau seakan padang pasir tandus menjadikan ia satu pengalaman baru buat saya.


Setiba di perkampungan Mu'tah, angin sejuk mencengkam tulang sum-sum. Subhanallah.. Kami disambut baik oleh ahli PERMATA dan disajikan dengan nasi goreng. Persis seperti di Malaysia. Setelah dibahagikan rumah transit, kami dibenarkan berehat bagi menghilangkan ketegangan otot-otot kerana berada terlalu lama dalam flight.


Hari kedua di bumi Mu'tah, terkial-kial saya pada subuh hari itu.. Pukul 4.30 pagi kedengaran azan  berkumandang. Kata senior, waktu subuh adalah pada jam 5 pagi. Selang beberapa minit selepas itu, kedengaran laungan azan yang kedua dari masjid arah lain. Pada jam 4.45 pagi, ada lagi azan yang berkumandang, tapi kali ini dari arah yang berlainan. Pada jam 5 pagi barulah kedengaran azan yang cukup lantang bergema diseluruh perkampungan Mu'tah, saya kira.. Pagi itu setelah selesai mengulang, kedengaran alunan al-Quran dari sekolah berdekatan dengan Mathorneh. Ucapan perbarisan anak-anak kecil di sini diselitkan dengan hadis-hadis Nabi dan bacaan al-Quran. Setiap pagi waktu persekolahan, begitulah rutin anak-anak kecil di sini. Hari itu, senior rumah transit kami belanja saya dan adilah makan syawarma. Kalau di Malaysia rasanya sama seperti 'Kyros Kebab'.


Hari ke-4 di Mu'tah, PERMATA telah mengadakan program lawatan ke Laut Mati. Saya tangguhkan dulu hasrat untuk ke sana yang memerlukan bayaran JD9 setiap orang untuk bayaran tiket masuk dan makanan. JD9 x RM5 = RM45, bagi saya duit itu ada kegunaan lain yang harus lebih diutamakan. Selepas Jumaat, senior rumah transit saya membuat perancangan untuk membawa kami melawat makam 3 Sahabat Nabi Muhammad di maza iaitu Zaid bin Haritsah, Jaa'far bin Abi Thalib, Abdullah bin Rawahah. Kami bertolak ke sana, selepas solat asar. Subhanallah, terpegun menyaksikan bahawa di depan mata saya ini adalah makam Sahabat Baginda. Tidak pernah bemimpi akan menjejakkan kaki di ruangan yang serba harum ini. Tercari-cari puncanya. Baunya sangat lembut, terawang-awangan.


Seminggu berada di bumi Jordan, banyak mengajar erti berjimat cermat.. Rumah transit yang saya duduki, mengalami krisis terlebih budjet untuk bulan ini. Meskipun mereka tidak pernah merungut, tapi boleh "dinilai" apabila kami kehabisan keperluan barangan dapur, terpaksa bertahan selama 2 hari menanti air mengisi tangki yang telah kering, terpaksa bertahan selama sehari sehingga air minum dapat ditopup, internet sudah 2 bulan tidak berbayar..


Semua ini, adalah rutin kehidupan yang bakal saya lalui sepanjang pengajian saya di bumi urdun.. Pengakhiran musim sejuk, udara kering menjadikan kestabilan antibody tidak menentu.. Bibir kering sehingga merekah berdarah, hidung berdarah, batuk berdarah.. Namun, saya bersyukur kerana diberi kesihatan yang baik hingga ke hari ini..




17 September 2011, cuba untuk berdikari sendiri berkomunikasi dengan arab.. Jam 5.30 petang, keluar bersama Adilah Ibrahim ke kedai public call. 10minit = 1/4 JD. Mencari-cari kedai menjual ayam untuk dibuat tomyam.. 2 ketul = JD 0.80. Seterusnya ke gerai menjual sayuran. Saya memilih bunga kubis yang sudah hampir rosak bersaiz kecil. Ketika mahu membayar, saya bertanya "kam haza?". Entah apa yang pak cik tu jawab. Yang saya dapat tangkap dia sebut "khomsah". Adilah kata tangan dia bagi isyarat seolah-olah nak bagi free. Saya keluarkan duit 0.05JD, di mengangguk dan tersenyum.. Kami pulang ke rumah transit sambil tersenyum sendiri..